Tiga nelayan sah diculik penjenayah rentas sempadan

Radhi Muslim
Disember 11, 2018 04:31 MYT
Panggilan diterima isteri salah seorang daripada tiga mangsa yang menyatakan suami dan dua lagi rakannya diculik selain dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui di selatan Filipina. - Gambar fail
Polis Sabah mengesahkan tiga kru nelayan hilang di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, minggu lalu dipercayai diculik penjenayah rentas sempadan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pengesahan terkini dibuat isteri salah seorang mangsa yang memberitahu bahawa dia dihubungi suaminya.
Katanya, panggilan berkenaan menyatakan suami dan dua lagi rakannya diculik selain dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui di negara jiran, selatan Filipina.
“Namun, belum ada lagi tuntutan wang tebusan diterima pihak keluarga dan polis," katanya.
Omar juga berkata, pasukan keselamatan turut masih menyiasat sama ada kejadian membabitkan kumpulan Abu Sayyaf atau tidak.
BACA: Empat hilang dalam insiden tembakan di perairan Pegasus Reef
BACA: Bukan empat tetapi tiga nelayan yang hilang
BACA: Ibu kru kapal yang hilang sebak mengenang anak
Terdahulu, 5 Disember lalu, tiga nelayan dikenali sebagai Heri Ardiansyah, 19 tahun, Jari Abdullah, 34 tahun, dan Hariadin, 45 tahun, dilaporkan hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka ditemui tanpa individu.
Jari merupakan warga tempatan dan bukan warga Indonesia seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Pada 5 Disember lalu juga, empat lelaki bersenjata turut menyerang bot tunda yang membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 kru warga Indonesia di perairan sama.
Kejadian menyebabkan tekong Didy Saviady, 40 tahun, cedera di paha akibat terkena tembakan yang dilepaskan kumpulan terbabit, manakala semua kru selamat.
#Abu Sayyaf #culik #hilang #Indonesia #keluarga #keselamatan #Kinabatangan #nelayan #Omar Mammah #Pegasus Reef #penjenayah #polis #rentas sempadan #tembakan
;