Tiga nelayan mangsa bot karam ditemukan selamat
Aida Aziz
November 14, 2021 21:26 MYT
November 14, 2021 21:26 MYT
LUMUT: Tiga mangsa insiden bot karam di perairan Pulau Sembilan yang dikhuatiri hilang sejak semalam, ditemukan selamat pagi tadi.
Perkara itu disahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, mangsa ditemui selamat pada kira-kira jam 11 pagi tadi oleh bot nelayan tempatan di sekitar perairan Kepulauan Sembilan.
"Mangsa kemudiannya dipindah ke sebuah bot nelayan tempatan lain bagi tujuan pendaratan mangsa di jeti nelayan Pantai Remis pada jam 2.30 petang tadi.
"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dalam keadaan selamat dan stabil ketika dibawa ke darat," katanya.
Justeru katanya, Maritim Malaysia turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh semua pasukan serta komuniti nelayan, sepanjang usaha mencari dan menyelamat dilaksanakan.
Terdahulu, media melaporkan Maritim Perak mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) tiga nelayan disyaki terbabit insiden bot karam sekitar Pulau Talang di perairan Pantai Remis, malam semalam.
Shahrizan berkata, tiga mangsa yang hilang itu termasuk tekong dan kesemuanya warga tempatan berumur dalam lingkungan 29 sehingga 70 tahun.