Tiga nelayan hilang ditemukan selamat, bot kehabisan minyak
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 22, 2022 15:32 MYT
Mac 22, 2022 15:32 MYT
KEPALA BATAS: Tiga nelayan yang dilaporkan hilang di laut ketika keluar menangkap ikan di Pengkalan Nelayan Sungai Tembus, Penaga, Kepala Batas ditemukan selamat pagi tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, ketiga-tiga nelayan tersebut ditemui di Pulau Bidan, Kedah kira-kira jam 9.30 pagi oleh nelayan berhampiran pulau berkenaan.
"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, bot mangsa tersebut telah kehabisan minyak dan telah diberi bantuan oleh nelayan. Seterusnya, ketiga-tiga mangsa yang ditemui dalam keadaan selamat dibawa pulang ke Pengkalan Nelayan, Sungai Tembus, P. Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, ketiga-tiga nelayan berusia 30-an dan 40-an itu dilaporkan hilang pada jarak 30 batu nautika ke arah Pulau Payar.
Kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dilakukan bersama agensi lain serta nelayan tempatan.
Kehilangan ketiga-tiga nelayan itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah yang memaklumkan bahawa mereka dilaporkan keluar memukat ikan sejak jam 4 pagi kelmarin.
Katanya, ketiga-tiga nelayan terbabit biasanya akan pulang kira-kira jam 12 tengah hari, namun sehingga semalam, mereka masih belum pulang ke jeti.
Operasi yang turut mendapat bantuan Unit Udara JBPM hari ini bagaimanapun dibatalkan sejurus penemuan tiga nelayan terbabit.
Operasi SAR kemudiannya ditamatkan pada 12 tengah hari.