Tiga nelayan asing ditahan, kendali bot tanpa nombor pendaftaran

Aida Aziz
Mac 26, 2022 13:33 MYT
Tangkapan dilakukan pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan Pulau Sembilan. - APMM
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tanpa nombor pendaftaran pada kedudukan 2.3 batu nautika barat laut di muara Sungai Perak, sekitar jam 1 tengah hari semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Perak, Komander Maritim Fadzliana Fadzil berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan Pulau Sembilan.
"Pemeriksaan oleh pasukan operasi mendapati, bot tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berusia lingkungan 40 hingga 55 tahun yang juga tidak memiliki sebarang pengenalan diri yang sah.
"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) iaitu tidak memiliki lesen serta Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Justeru katanya, bot serta kru diiring ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sitiawan, untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut akan dijalankan oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
Dalam perkembangan berasingan, Maritim Perak telah merampas 70 set bubu naga di sekitar 0.6 batu nautika barat daya Pulau Talang Segari, di sini pada 18 dan 24 Mac lalu.
Fadzliana berkata, rampasan itu dibuat susulan pengesanan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan oleh bot ronda semasa melakukan rondaan Op Pintas dan Op Sayong berhampiran pulau berkenaan.
"Pemeriksaan di lokasi mendapati, pelampung tersebut merupakan penanda kepada bubu naga yang dipasang oleh individu yang tidak bertanggungjawab pada hari operasi pemantauan tersebut.
"Kesemua bubu naga itu dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya lagi.
Jelasnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Katanya, kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM8,400 dengan anggaran RM120 seunit.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.
#nelayan asing #tekong myanmar #bot tanpa pendaftaran #perairan negara #APMM
;