Tiga negeri Pantai Timur catat kesalahan tertinggi Skim Kawalan Harga
Bernama
Julai 9, 2017 19:03 MYT
Julai 9, 2017 19:03 MYT
Kesemua tiga negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia mencatatkan kesalahan tertinggi sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (Hari Raya Puasa) 2017, yang bermula dari 17 hingga 30 Jun lalu.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata Terengganu, Pahang dan Kelantan masing-masing mencatatkan 14, 12, dan 11 kes.
"Sepanjang 14 hari pelaksanaan skim kawalan harga, kita melakukan pemeriksaan terhadap 23,661 premis perniagaan di seluruh negara merangkumi 932 pemeriksaan ke atas pemborong dan 22,729 pemeriksaan ke atas peruncit.
"Sejumlah 74 tindakan undang-undang telah diambil ke atas peniaga bagi pelbagai kesalahan, dan Terengganu, Pahang dan Kelantan, mencatatkan kesalahan tertinggi manakala di negeri-negeri lain seperti Kedah dan Perlis pula kurang daripada 10 kes," katanya pada sidang media di Pejabat KPDNKK cawangan Sungai Petani di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Shamsul Nizam Khalil dan Ketua Cawangan KPDNKK Sungai Petani, Sha'arani Miskat.
Mohd Roslan berkata jumlah tindakan undang-undang yang dikenakan tahun ini menunjukkan penurunan ketara berbanding 412 kes sepanjang pelaksanaan skim kawalan harga pada Hari Raya Puasa tahun lalu.
"Penurunan ini disebabkan penguatkuasaan secara berhemah yang kita jalankan sebelum ini, selain kerjasama baik yang diterima daripada peniaga dan pengguna sepanjang pelaksanaan skim kawalan harga.
"Selain dari itu, tiada isu serius berbangkit yang menjejaskan harga, malah tiada aduan diterima berkenaan kenaikan harga barangan secara keterlaluan, dan saya harap agar keadaan ini berterusan bukan sahaja pada musim perayaan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Roslan berkata nilai rampasan sepanjang pelaksanaan skim kawalan harga pada tahun ini adalah sebanyak RM7,192.98 berbanding RM40,800 tahun lalu, manakala kompaun yang dikenakan pula berjumlah RM9,100 berbanding RM59,940 tahun lalu.
"74 kes yang diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 termasuklah, empat kes menjual melebihi harga maksimum ditetapkan, 54 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan 16 kes tidak meletakkan tanda harga," katanya.
-- BERNAMA