Tiga negeri beralih fasa PPN berkuat kuasa hari ini
Astro Awani
September 23, 2021 06:02 MYT
September 23, 2021 06:02 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga negeri akan beralih fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini.
Negeri Sembilan beralih ke Fasa 4, Pahang beralih ke Fasa 3, dan Johor pula bakal memasuki Fasa 2.
Perkara itu dimaklumkan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada 22 September lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 berkata peralihan fasa itu adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil ICU serta peratusan lengkap divaksinasi.
Menurutnya, keputusan itu juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini.