Tiga modul hospital hadapan ATM akan dibawa masuk bermula esok

Bernama
Oktober 28, 2016 22:45 MYT
Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zain mengumumkan bantuan untuk menyediakan 'hospital bergerak' termasuk satu unit dewan pembedahan kepada HSA. - Gambar fail
Tiga modul hospital hadapan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) secara berperingkat mulai esok.
Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM Lt Jen Datuk Dr Abd Razak Md Yusof dan Pengarah Kesihatan Johor Dr Rooshaimi Merican A Rahim Merican melawat tapak untuk meletakkan kemudahan itu hari ini.
Terdahulu, Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zain mengumumkan bantuan untuk menyediakan 'hospital bergerak' termasuk satu unit dewan pembedahan kepada HSA.
Difahamkan modul itu boleh digunakan bagi menjalankan 70 pembedahan kecil dalam tempoh 24 jam.
Modul tersebut akan ditempatkan di tiga lot parkir kereta berhadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma di bangunan induk HSA.
Dalam pada itu, pemilik-pemilik kedai runcit di aras bawah bangunan induk hospital sudah mula memindahkan keluar barangan mereka selepas bangunan itu diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan atas sebab keselamatan. -- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #hospital bergerak #Hospital Sultanah Aminah #Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zain #modul hospital hadapan
;