Tiga mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu program Penjana Kerjaya
Bernama
Januari 20, 2023 15:25 MYT
Januari 20, 2023 15:25 MYT
MELAKA: Tiga individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 dengan jumlah keseluruhan RM136,100.
Marzila Daud, 46, dituduh mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Ainnas Sweet Home Bakery bagi menuntut insentif berjumlah RM50,000 di bawah program itu.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Wisma Perkeso, Jalan Persekutuan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh pada 8 Mac 2021.
Sementara itu, Siti Nor Sofwah Ahmad, 26, dan Nick Farhan Zakiran Mahadi, 30, masing-masing didakwa mengemukakan tuntutan atas nama Nor Sofwah Tea sebanyak RM41,000 pada 23 Mac 2021 dan NFZ Engineering pada 16 April 2021 sebanyak RM45,000, di tempat yang sama.
Ketiga-tiga peniaga itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah jika ia dapat dinilai atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zander Lim Wai Keong mencadangkan jaminan RM20,000 ke atas setiap tertuduh serta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah jika ada selain melapor diri ke pejabat SPRM Melaka setiap bulan.
Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan Marzila diikat jamin RM15,000 manakala Siti Nor Safwa dan Nick Farhan Zakiran masing-masing RM12,000 selain membenarkan syarat tambahan yang dimohon TPR.
Marzila dan Siti Nor Sofwa masing-masing diwakili peguam Hafizah Sani dan Lim Kah Ee manakala Nick Farhan Zakiran tidak diwakili peguam.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Feb.
-- BERNAMA