Tiga mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya
Bernama
Januari 16, 2023 12:48 MYT
Januari 16, 2023 12:48 MYT
MELAKA: Tiga individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM147,400.
Nurul Ain Shamsudin, 30, Asmida Shahfika Abdul Rahman, 25, dan Muhammad Hafizi Ab Jamal, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Nurul Ain dituduh sebagai Pengurus Syarikat Zaharain Enterprise melalui Muhammad Fauzi Abdul Latif, memberi suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan itu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM35,900 kepada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Perkeso Melaka M. Nittiya.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perkeso Melaka, Jalan Persekutuan MITC, Ayer Keroh pada 3 Jun 2021.
Asmida Shahfika yang merupakan pemilik Syarikat Roti Warisan Enterprise pula dituduh atas pertuduhan sama membabitkan jumlah RM36,900 di tempat sama pada 19 Mei 2021.
Tuntutan palsu itu adalah dengan mengemukakan nama pekerja baharu sedangkan senarai nama pekerja baharu itu bukan merupakan pekerja syarikat masing-masing serta penama tidak layak memohon di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu itu dapat dinilai atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Ikhwan Zaudi Nordin dan Mohd Yasri Yahya, yang memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap Nurul Ain dan Asmida Shahfika manakala jaminan RM40,000 kepada Muhammad Hafizi.
Pendakwaan turut mengemukakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di mana-mana pejabat SPRM berhampiran dan tidak mengganggu saksi sepanjang pendakwaan berlangsung.
Mahkamah kemudian mengenakan jaminan RM8,000 masing-masing kepada Nurul Ain dan Asmida Shahfika manakala jaminan RM20,000 dikenakan kepada Muhammad Haifizi serta membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Nurul Ain dan Asmida Shahfika diwakili peguam Haifzah Sani manakala Muhammad Hafizi tidak diwakili peguam. Kes akan disebut semula pada 16 Feb depan.
-- BERNAMA