Tiga mekanisme bantu hapus hutang peneroka Felda
Astro Awani
Ogos 17, 2018 21:18 MYT
Ogos 17, 2018 21:18 MYT
Tiga mekanisme diperkenalkan kerajaan untuk membantu menghapus hutang peneroka Felda seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Hal itu dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Perutusan Khas 100 Hari yang turut disiarkan di Astro AWANI.
Kesemua mekanisme berkenaan adalah usaha untuk menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.
Tiga insentif tersebut ialah:
1. Insentif pelupusan sebahagian hutang tanam semula yang ekstrem melalui penyediaan dana sebanyak RM300 juta untuk lima tahun
2. Pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang bersama sistem Felda melibatkan seramai 90,418 peneroka dengan kos RM452 juta
3. Insentif pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FGV melibatkan 77,972 peneroka dengan kos RM103 juta