Tiga maut, Toyota Vellfire terbabas masuk parit

Sinar Harian
Jun 1, 2024 03:50 MYT
Seorang lelaki dan dua wanita terperangkap dalam MPV apabila kenderaan itu terbabas masuk parit di Jalan Skudai, Johor Bahru, hari ini. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Tiga maut termasuk dua wanita selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 5 Jalan Skudai di sini pada Sabtu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba Kanan I Haizrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan yang berlaku di hadapan sebuah hotel pada jam 7.20 pagi.
Susulan itu katanya, seramai 12 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kemalangan melibatkan sebuah MPV jenis Toyota Vellfire terbabas dan masuk ke dalam parit dengan kedalaman kira-kira dua meter.
"Terdapat tiga mangsa terperangkap dalam kenderaan. Pihak bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa menggunakan tali dan stetcher," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa iaitu seorang lelaki dan dua wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir di tempat kejadian.
Katanya, semua mayat diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada jam 8.40 pagi. - Sinar Harian
#Vellfire terbabas #Vellfire masuk parit #Jalan Skudai #bomba Larkin