Tiga maut termasuk kanak-kanak dalam kebakaran di Kepong
Astro Awani
Februari 14, 2017 16:21 MYT
Februari 14, 2017 16:21 MYT
Tiga maut manakala tiga lagi terselamat apabila kediaman mereka terbakar di Taman Wangsa Permai, Kepong lewat malam tadi.
Pengarah Bomba Selangor Zamri Che Din berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 11.20 malam tadi daripada orang awam dan susulan itu dua jentera bomba dan penyelamat dari Sungai Buloh dan Selayang dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya setibanya anggota di lokasi, api sedang marak di tingkat bawah dan bomba terpaksa menggunakan balkoni rumah jiran mangsa untuk ke tingkat atas kediaman.
"Apabila kami tiba di lokasi, api sedang marak membakar di bahagian tingkat bawah rumah teres dua tingkat berkenaan dan dimaklumkan ada mangsa terperangkap di tingkat atas," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Bomba kemudiannya memecah masuk melalui bilik tidur utama sebelum menemukan tiga mangsa yang telah meninggal dunia di ruang tamu tingkat atas.
Beliau berkata ketiga-tiga mangsa yang cedera berjaya diselamatkan bomba dengan turun melalui balkoni di tingkat atas dengan bantuan orang ramai.
"Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selayang manakala mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
"Kebakaran itu menyebabkan 80 peratus tingkat bawah rumah itu rosak manakala punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Ng Zi Xuan, 10, Lam Yan Yi, tujuh, serta seorang wanita warga asing dikenali sebagai Sok Srey berusia 29 tahun.
Tiga lagi mangsa lain yang cedera akibat melecur dikenali sebagai Lam Chooi Lai, 36, Shamsul Ng Abdullah, 58, dan Wong Ah Yin, 81 tahun.
#Kebakaran Kepong
#kebakaran Taman Wangsa Permai
#Pengarah Bomba Selangor
#tiga maut termasuk kanak-kanak
#Zamri Che Din