Tiga maut, seorang parah kereta terbabas langgar tiang elektrik

Astro Awani
Jun 28, 2024 10:00 MYT
Sebuah kereta terbabas melanggar tiang elektrik di Jalan Renggam - Simpang Renggam, di Kluang, tengah malam tadi, mengakibatkan tiga maut dan seorang parah. - Foto JBPM Johor
KLUANG: Tiga sekawan maut, manakala seorang parah selepas kereta yang dinaiki terbabas melanggar tiang elektrik di Jalan Renggam - Simpang Renggam, di sini, tengah malam tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Ziyad Azmi, Ahmad Manan Zaini dan Muhamad Adib Ahmad Shahfarin, masing-masing berumur 21 tahun.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.45 malam.
Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira yang terbabas melanggar tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad di tepi jalan.
Kemalangan mengakibatkan empat mangsa tersepit, katanya.
Pemandu dan dua penumpang disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seorang lagi penumpang dikenali sebagai Nor Aminul Fitri Nor Azmi mengalami kecederaan kritikal dan diserahkan kepada pihak ambulans KKM di lokasi.
Menurut Shoromi, PKO bertindak mengeluarkan mangsa mengunakan peralatan khas menyelamat.
Mangsa seterusnya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#kemalangan jalan raya #Jalan Renggam - Simpang Renggam #kereta langgar tiang elektrik #tiga sekawan maut
;