Tiga maut, seorang parah kereta terbabas

Nur Fazlizai Ali
Mac 17, 2018 16:44 MYT
Salah seorang penumpang kereta Proton Waja telah tercampak manakala pemandu dan penumpang tersepit di dalam kereta. - Foto Astro AWANI
Tiga wanita termasuk seorang warga Indonesia maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di kilometer 59, Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja, Setiu awal pagi ini.
Nahas itu yang berlaku pada jam 6.40 pagi itu mengakibatkan pemilik kantin, Marina Deraman, 48 tahun dan dua pekerjanya Azizah Jamaludin, 48 tahun serta Dewiyanti Demmagassing, 36 tahun maut di lokasi kejadian.
Manakala seorang lagi mangsa Nor Ashimah Mohd Yasim, 36 tahun mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki kereta Proton Waja itu dalam perjalanan menuju ke tempat kerja mereka di Kolam Udang Kampung Nyatoh, di sini.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian sebuah Mitsubishi Triton dari arah Kampung Raja menghala ke Kuala Terengganu dipercayai sedang memotong telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta mangsa.
Pertembungan itu juga menyebabkan kereta yang dinaiki empat wanita itu terbabas lalu melanggar tiang elektrik di bahu jalan.
Susulan itu salah seorang penumpang kereta Proton Waja telah tercampak manakala pemandu dan penumpang tersepit di dalam kereta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya Nor Ashimah dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Azizah Jamaludin #Dewiyanti Demmagassing #Jalan Pantai Kuala Terengganu #Kampung Raja #kemalangan #Kolam Udang Kampung Nyatoh #Marina Deraman #Nor Ashimah Mohd Yasim #Proton Waja #Setiu
;