Tiga maut, seorang parah kemalangan di Jalan Kuala Kubu Bharu

Bernama
Oktober 26, 2023 15:20 MYT
Kemalangan itu membabitkan Perodua Axia dengan Toyota Avanza. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Dua lelaki dan seorang wanita maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kuala Kubu Bharu, Rawang berhampiran Serendah Golf Resort dekat sini kira-kira 11 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemukan di lokasi, mangsa yang maut ialah Rosihat Lemon, 68, Chan Kwai Hoong, 62, dan Soo Yoke Siew, 53.
Beliau berkata kemalangan itu membabitkan Perodua Axia dinaiki Chan dan Soo dengan Toyota Avanza dinaiki Rosihat bersama wanita yang cedera parah yang belum dikenal pasti identitinya.
"Kesemua mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat manakala penumpang wanita yang cedera parah itu dihantar ke Hospital Selayang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan itu pada 11.06 pagi.
Menurutnya 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu serta Rawang digegaskan ke lokasi kejadian manakala punca kemalangan sedang disiasat lanjut.
-- BERNAMA
#kemalangan maut #jalan kuala kubu bharu #Rawang #tiga maut
;