Tiga maut nahas dua kenderaan

Sinar Harian
November 22, 2021 11:21 MYT
Honda Accord yang terlibat kemalangan di Kilometer 268 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran susur keluar Tol Ainsdale, Seremban pada awal pagi Isnin. -Foto ihsan JBPM
SEREMBAN: Tiga lelaki maut dalam nahas melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 268 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran susur keluar Tol Ainsdale di sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, kemalangan kira-kira jam 2.35 pagi itu melibatkan kereta jenis Honda Accord dan Perodua Bezza masing-masing dinaiki tiga penumpang.
"Kemalangan berlaku apabila kereta Honda Accord dipandu lelaki berusia 18 tahun dalam perjalanan dari arah Seremban menuju ke Nilai.
"Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok tengah pembahagi lebuh raya sebelum berpusing melanggar Perodua Bezza di lorong kiri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, rempuhan itu mengakibatkan penumpang hadapan Honda Accord, juga penumpang hadapan dan belakang Perodua Bezza masing-masing berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian di Kilometer 268 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran susur keluar Tol Ainsdale, Seremban pada awal pagi Isnin.
Menurutnya, pemandu Perodua Bezza berusia 20 tahun dan pemandu Honda Accord serta seorang penumpang cedera parah.
"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelas beliau.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Seremban 2, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Asree Abd Hamid berkata, seramai 18 pegawai dan anggota serta ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
"Terdapat enam mangsa terlibat dan kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Mohd Rosli Ishak #Honda Accord #perodua bezza #langgar tembok pembahagi lebuh raya
;