Tiga maut, motosikal bergesel sebelum dilanggar bas ekspres
Missel Ernie Bick
September 16, 2022 16:33 MYT
September 16, 2022 16:33 MYT
SARIKEI: Tiga lelaki pekerja ladang maut dan seorang wanita parah selepas dua motosikal yang ditunggang mereka bergesel dan tumbang sebelum dilanggar sebuah bas ekspres di Jalan Julau, Batu 12, Bintangor, dekat sini malam Khamis.
Mereka yang maut dikenal pasti sebagai pasangan adik beradik; Johny Jonathan, 19 tahun dan Mathew Many Jonathan, 25 tahun dari Rumah Andam Sedarat Simpang, Engkelili.
Seorang lagi mangsa, Nelson Chendang, 21 tahun berasal dari Rumah Chendang, Sungai Majau manakala wanita yang parah berusia 21 tahun dari Sungai Mapai; kedua-duanya di Kanowit.
Menurut sumber polis, insiden berlaku sekitar jam 10.20 malam apabila motosikal yang ditunggang dan dibonceng keempat-empat mangsa sedang bergerak dari arah Jalan Simba menuju ke arah Julau.
“Motosikal mereka kemudian telah bergesel dan terjatuh di atas jalan, menyebabkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang yang berada di belakang mangsa gagal mengelak, lalu merempuh mereka,” katanya lagi.
Sementara itu menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimansah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 10.24 malam.
“Sebuah jentera dan sepasukan tujuh anggota kemudian segera diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor dan sebelum mendapati ketiga-tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba dari Hospital Kanowit.
Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sibu untuk prosedur bedah siasat.
Manakala mangsa yang parah turut dikejarkan ke hospital yang sama.
Punca nahas disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemandu bas yang berusia 52 tahun juga telah ditahan untuk membantu siasatan, sebelum dibebaskan kemudiannya, dengan jaminan polis.