Tiga maut kereta terbabas dan rempuh lori tangki minyak di Dungun
Astro Awani
Januari 15, 2016 14:20 MYT
Januari 15, 2016 14:20 MYT
Tiga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori tangki minyak di Dungun, Terengganu, awal pagi tadi.
Kemalangan itu menyebabkan Irwan Khalid, 37, dari Gong Gemia, Paka dan dua rakannya berusia lingkungan 30-an yang belum dikenal pasti identiti maut di tempat kejadian.
Insiden berlaku kira-kira jam 6.45 pagi di Kilometer 101 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan.
Ia dipercayai berlaku selepas kereta Perodua Viva yang dipandu Irwan terbabas sebelum merempuh sebuah lori tangki minyak tanpa muatan yang datang dari arah bertentangan.
Kemalangan itu menyebabkan Irwan terhumban keluar, manakala dua lagi rakannya tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
Sementara itu, pemandu lori tangki minyak berusia 55 tahun, Ah Bon, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Ah Bon, dia melihat kereta berkenaan bergerak dalam kelajuan tinggi sebelum terbabas dan merempuh lori yang dipandunya.
"Saya tidak sempat hendak mengelak kereta itu kerana ia terlalu laju menuju ke arah lori saya selepas terbabas dari arah bertentangan," katanya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superitenden Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan 1987.
Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat .