Tiga maut, kereta dinaiki terbabas ke dalam gaung
Noraniza Kamsani
November 4, 2018 13:53 MYT
November 4, 2018 13:53 MYT
Dua remaja perempuan dan seorang lelaki maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki terbabas ke gaung di Jalan Semambu, di sini, pagi tadi.
Kejadian jam 6.30 pagi itu mengakibatkan Mohd Rizal Zainuddin, 20 tahun, bersama Akira Alinnatasya Mohd Jaafar, 16 tahun, dan Nur Alya Ariana Azman, 16 tahun, maut setelah cedera parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata kejadian berlaku ketika kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan ke Kemaman, Terengganu.
"Tiba di lokasi kejadian, Perodua Myvi yang dipandu seorang lagi mangsa yang belum dikenal pasti tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri. Akibat kejadian, kenderaan berkenaan terjatuh ke dalam gaung sedalam lima meter.
"Mangsa yang tersepit kemudian berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba dan penyelamat," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital yang sama.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
#Akira Alinnatasya
#gaung
#Jalan Semambu
#kemalangan
#Kemaman
#Kuantan
#Mohd Rizal Zainuddin
#Nur Alya Ariana
#Pahang
#Perodua Myvi