Tiga maut, kereta bertembung ketika ribut di Padang Besar
Salim Aziz
September 17, 2018 05:57 MYT
September 17, 2018 05:57 MYT
Sepasang suami isteri dan seorang anggota polis berpangkat konstabel maut dalam satu insiden melibatkan dua kereta di Padang Besar dekat sini malam tadi.
Kemalangan kira-kira jam 9.30 malam itu berlaku di Bukit Chabang, ketika kereta mereka bertembung dalam keadaan ribut.
Mangsa dikenalpasti sebagai, Hafiz Johari dan isteri, Siti Asmah Abdul Khalid, masing-masing berusia 27 tahun, menaiki Nissan Murano, manakala Muhammad Amirul Naim Aziz, 24 tahun, memandu Perodua Kancil.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Muhammad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian kerana kemalangan itu berlaku ketika ribut dan hujan lebat.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar di mana sanak saudara dan rakan taulan mula berkumpul.
Menurut bapa saudara kepada Siti Asmah, Norshahril Md Yusop, arwah sedang sarat mengandung dan difahamkan dijangka melahirkan anak keduanya hari ini (Selasa).
Bagaimanapun kandungannya gagal diselamatkan.
Anak sulung pasangan itu berusia 4 tahun, yang turut sama berada ketika kemalangan, dilaporkan selamat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar yang ditemui berkata, anggotanya yang meninggal dunia itu dalam perjalanan pulang dari rumah mentuanya di Padang Besar.
Ketika kejadian, dia sedang menuju ke Seriab.
Difahamkan, isteri dan dua anak perempuan yang turut berada dalam kenderaan yang dipandunya selamat, tetapi anak sulungnya dalam keadaan kritikal.
Kata polis, ketiga-tiga mayat akan mula dibedah siasat pagi ini.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, ribut yang melanda negeri ini dengan kelajuan sekitar 68km sejam malam tadi hanya mengambil masa 30 minit, tetapi membawa kemusnahan yang bukan sedikit.
Menurut statistik Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perlis setakat jam 1 pagi tadi, 40 buah rumah terjejas dan terdapat 131 kes pokok tumbang.
Laporan awal bencana juga menyatakan, 55 kes melibatkan gangguan bekalan elektrik dan enam kes kemalangan direkodkan, termasuk kemalangan maut di Padang Besar.
Dalam pada itu, laluan utama dari bulatan besar Kangar menghala ke Arau ditutup susulan pintu gerbang tumbang di kawasan Santan.
#Kangar
#kemalangan
#kereta
#kereta bertembung
#konstabel
#mangsa
#maut
#mayat
#mengandung
#meninggal dunia
#padang besar
#Perlis
#ribut
#siasatan