Tiga maut kereta bertembung di Setiu
Astro Awani
Ogos 13, 2017 17:41 MYT
Ogos 13, 2017 17:41 MYT
Seorang anggota polis antara tiga yang maut dalam kemalangan di KM66 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Pak Kancil, di Setiu, Terengganu awal pagi Ahad.
Nahas yang berlaku pada kira-kira jam 3.30 pagi itu menyebabkan mangsa Faiezal Abdul Kayim, 42 tahun, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan, Pahang dan rakannya Ahmad Zaki Baharudin, 37, terkorban di tempat kejadian.
Manakala seorang lagi mangsa Nur Lyza Syahira Ahmad Hazly, 17, yang menaiki kereta berasingan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Setiu.
Kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira yang dinaiki Faiezal bersama dua lagi rakannya dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu sebelum bertembung dengan sebuah lagi kereta dari arah bertentangan.
Susulan kejadian, pemandu kereta Hizami Abd Halim, 32, juga rakan Faiezal hanya mengalami cedera ringan.
Sementara itu, penumpang kereta Nur Laila Zukiman, 15, mengalami cedera parah manakala Muhamad Hasrah Abdullah pula patah gigi.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama.
#Ahmad Zaki Baharudin
#Faiezal Abdul Kayim
#Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu
#Kampung Pak Kancil
#Nur Laila Zukiman
#Nur Lyza Syahira