Tiga maut kemalangan pulang kerja, pemandu kereta melarikan diri
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 22, 2021 14:32 MYT
Ogos 22, 2021 14:32 MYT
SITIAWAN: Pemandu kereta Proton Preve melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan dengan enam buah motosikal di Kilometer 4, Jalan Kampung Acheh - Sitiawan, dekat sini, petang semalam, yang mengorbankan tiga orang.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, pihaknya telah mengenal pasti lelaki berusia 38 tahun itu dan sedang memburunya.
Menurutnya, dalam kemalangan sekitar pukul 5.30 petang itu, dua penunggang motosikal dan seorang pembonceng, masing-masing berumur antara 22 hingga 29 tahun, meninggal dunia.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu kereta Proton Preve dan dua orang penumpang dari Lekir menghala ke Kampung Acheh, manakala enam buah motosikal termasuk sebuah yang membawa pembonceng, kesemuanya pekerja kilang Sapura Energy, dari arah Kampung Acheh ke Sitiawan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu kereta terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan telah melanggar keenam-enam motosikal yang berada di laluan sah,” katanya di sini, hari ini.
Nor Omar berkata, dalam perlanggaran itu, tiga orang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala enam lagi yang berumur antara 24 hingga 48 tahun, cedera parah.
Lima mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seri Manjung dan seorang lagi dibawa ke Hospital Pantai Manjung untuk menerima rawatan.
Polis turut menahan seorang penumpang Proton Preve yang cedera kerana ujian saringan air kencing menunjukkannya positif Methamphetamine.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini dan suspek agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Lily Suryana Roslaili ditalian 013-6559693 bagi membantu siasatan.
Kes, katanya, disiasat di bawah seksyen 41 (1) APJ 1987.
#tiga maut kemalangan
#pemandu kereta melarikan diri
#Proton Preve
#enam buah motosikal
#Jalan Kampung Acheh