Tiga maut kemalangan ketika pulang dari kelas tambahan

Muhafandi Muhamad
Julai 5, 2017 14:35 MYT
Tiga mangsa maut ditempat kejadian manakala rakannya kini dirawat di Hospital Tengku Anis Pasir Puteh. - Gambar fail
Tiga dari empat remaja yang baru pulang dari kelas tambahan maut dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan awal pagi tadi di Kilometer 26 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Bukit Tanah di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superitendan Abdul Rozak Mohamed, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.30 pagi tadi melibatkan dua buah kereta.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Amirul Rzali, 19, Amir Amjad Zuhar, 19 dan Che Muhamad Syafiq Suriadi, juga 19 tahun.
Kesemua mereka merupakan pelajar tingkatan enam SMK Bukit Jawa, Pasir Puteh, manakala rakannya yang parah dikenali sebagai Mohd Idzzat Haiqal Mohd Ridzuan yang mengalami patah lengan kanan dan cedera di kepala.
Empat lagi penumpang serta pemandu kereta jenis pesona mengalami cedera ringan.
Dalam kejadian tersebut kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki oleh remaja berkenaan dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menuju ke jalan Kuala Terengganu.
Kereta berkenaan dikatakan dipandu laju sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Persona dari arah bertentangan.
Tiga mangsa maut ditempat kejadian manakala rakannya kini dirawat di Hospital Tengku Anis Pasir Puteh.
Remaja yang memandu kereta berkenaan tidak memiliki lesen memandu dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan #maut #pelajar
;