Tiga maut, dua cedera parah rempuh lori kren di Lekir

Nazialita Geynna Maharan
Mac 15, 2017 08:44 MYT
Kejadian sekitar 10.30 malam tersebut melibatkan mangsa berusia dalam lingkungan 30 hingga 62 tahun.
Tiga lelaki maut manakala dua cedera parah dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah kenderaan dan lori kren di Taman Seri Kayan, Lekir, di sini pada lewat malam Selasa.
Kejadian sekitar 10.30 malam tersebut melibatkan mangsa berusia dalam lingkungan 30 hingga 62 tahun.
Ketua Pegawai Operasi Manjung, Pegawai Bomba Kanan II, Ashaari Mat Radzi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden tersebut sekitar pukul 10.56 malam dan bergegas ke tempat kejadian.
"Setibanya di lokasi kami mendapati berlaku sebuah kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Altis dan lori kren milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Pemerhatian awal mendapati kenderaan tersebut merempuh bahagian tengah lori kren berkenaan yang sedang membelok ke kanan.
"Impak rempuhan menyebabkan tiga orang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua lagi lelaki cedera parah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ashaari berkata, pihaknya yang tiba di tempat kejadian mendapati dua mangsa tersepit di bahagian hadapan manakala dua mangsa lain berada di tempat duduk belakang.
Jelasnya, seorang yang parah di bahagian belakang telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital sebelum pihaknya tiba.
"Semua yang cedera parah dihantar ke Hospital Seri Manjung bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut dan mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya lagi.
Tambah beliau,operasi mengeluarkan mangsa tersepit mengambil masa lebih daripada sejam dan tamat sekitar 12.30 tengah malam.
#kemalangan #lori krem #mangsa kemalangan #maut #repuh lori #sitiuawan
;