Tiga maut dalam nahas treler hempap lori di Batu Pahat
Ernalisa Othman
Januari 29, 2021 12:04 MYT
Januari 29, 2021 12:04 MYT
BATU PAHAT: Tiga maut dalam satu kemalangan di Jalan Kluang-Batu Pahat, Johor membabitkan sebuah lori membawa muatan bengkel dan treler pagi tadi.
Dalam nahas yang berlaku pada jam 6.28 pagi itu, pemandu lori Mohamad Azraai Mohamad Rizal, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Kemalangan turut meragut nyawa dua kelindannya, Deli Mustapha, 59, dan Sadam Hussin Hamidon, 30, yang mengalami kecederaan parah pada anggota badan setelah tersepit di bawah lori.
Manakala pemandu treler muatan simen, Saiful Nizam Mansor, 39, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memaklumkan seramai 18 anggota dan dua jentera FRT serta satu jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dan BBP Kluang dikerah ke lokasi.
Sejurus tiba, pihak bomba mendapati tiga mangsa tersepit menyebabkan mereka terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa dengan dibantu sebuah kren.
Ketiga-tiga mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis.
Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 8.43 pagi.
#kemalangan
#nahas lori dan treler
#Jalan Kluang-Batu Pahat
#Deli Mustapha
#Sadam Hussin Hamidon
#Saiful Nizam Mansor
#operasi menyelamat
#treler hempap lori