Tiga maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Temerloh

Sinar Harian
Jun 24, 2018 12:24 MYT
Tiga maut manakala tujuh termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Karak-Temerloh. -Foto Sinar Harian
Tiga maut manakala tujuh termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Karak-Temerloh dekat Kampung Batu 7, Temerloh, Pahang, hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Mohd Sani Harul, memberitahu kejadian berlaku kira-kira jam 9.14 pagi tadi.
Menurutnya, seramai enam pegawai dan anggota bomba dari Balai Mentakab dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan.
Jelasnya, terdapat tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan tersebut iaitu sebuah kereta jenis Proton Exora dinaiki lapan orang, sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah treler.
“Mereka yang maut ialah dua lelaki dalam kereta Proton Exora dan pemandu pacuan empat roda berkenaan,” katanya memberitahu pasukan bomba terpaksa menggunakan pemotong penyelamat hidraulik untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit.
Sementara itu dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang tersepit dan mengalami kecederaan dalam kereta Exora tersebut dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan.
Mayat mangsa maut juga dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.
Manakala dua lagi penumpang kenderaan dan pemandu treler itu selamat dan tidak mengalami kecederaan.
#bomba #Hospital #Kampung Batu 7 #kemalangan #maut #Mohd Sani Harul
;