Tiga maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai

Muhafandi Muhamad
Ogos 12, 2020 10:37 MYT
Mangsa yang maut dikenali sebagai Zainuri Idham Mohamad Zulkkifli, Muhammad Zulffairy Nasir dan seorang warga Thailand, Syed Mohamad Khairi Syed Ismail. - Foto JBPM
Tiga maut dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan di jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Kampung Pahi, dekat ini, awal pagi ini.
Mangsa dikenali sebagai Zainuri Idham Mohamad Zulkkifli, 22 tahun, Muhammad Zulffairy Nasir, 19 tahun, dan seorang warga Thailand, Syed Mohamad Khairi Syed Ismail, 23 tahun.
Menurut Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Krai, Che Razak Harun, kemalangan dipercayai berlaku sekitar 4.30 pagi melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), sebuah lori dan pacuan empat roda (4WD).
Katanya, kemalangan dipercayai bermula apabila salah satu tayar lori terpelanting dan mengenai 4WD yang dinaiki tiga mangsa, menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan melanggar lori.
Pada masa sama, SUV yang berada di belakang lori berkenaan tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang lori, sehingga menyebabkan ia terbakar.
Bagaimanapun, dua pemandu dan penumpang SUV berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan.
#4WD #Che Razak Harun #hilang kawalan #JBPM #kemalangan #Kuala Krai #Lori #pacuan empat roda #SUV #warga Thailand
;