Tiga maut dalam kemalangan bas, treler dan lori

Bernama
Disember 9, 2014 11:57 MYT
Kemalangan pada pukul 3.35 petang Isnin itu berlaku apabila sebuah treler dari arah utara ke arah selatan terbabas dan melanggar besi penghadang jalan lalu memasuki lorong bertentangan. -Foto BERNAMA
Tiga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, treler dan lori di KM 265.7, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Plaza Tol Seremban pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata mangsa yang maut ialah pemandu bas ekspres, Norzali Nordin, 56, dari Taman Seri Paya Rumput Fasa 2, Melaka, dan seorang penumpang bas Rafidah Abdul Amid @ Abdul Hamid, 34, beralamat Bernam Hulu Selangor, serta pemandu treler yang identitinya belum dikenal pasti.
"Ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah. Mayat mereka dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Sepuluh penumpang bas yang cedera ringan turut dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita.
Muhamad Zaki berkata kemalangan pada pukul 3.35 petang itu berlaku apabila sebuah treler dari arah utara ke arah selatan terbabas dan melanggar besi penghadang jalan lalu memasuki lorong bertentangan.
Pada masa sama, datang sebuah bas ekspres melanggar treler tersebut dan membawa ke kiri jalan lalu melanggar sebuah lori yang berada di kawasan pembinaan jalan menghala ke utara.
Dua belas anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dan Nilai dikejarkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat. Akibat kemalangan itu, laluan di lebuh raya mengalami kesesakan teruk
kedua-dua arah.
#kemalangan #Plaza Tol Seremba
;