Tiga maut dalam dua kemalangan berasingan di Kelantan

Bernama
September 2, 2024 05:40 MYT
Dua wanita maut apabila motosikal dinaiki mereka dilanggar dua kereta di KM 76, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Masjid Pahi di Kuala Krai pada Isnin. - Foto Sinar Harian
KUALA KRAI: Dua wanita maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar dua kereta dari arah bertentangan di KM 76, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata mangsa yang berusia 48 dan 49 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, lebih kurang 4 petang.
"Kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang oleh dua mangsa dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Pahi menghala ke Kampung Baru Pahi telah membelok ke kanan untuk masuk simpang sebelum kereta jenis Proton Iriz dari arah bertentangan tidak sempat membrek dan telah melanggar motosikal tersebut.
"Pada masa sama, motosikal mangsa berlanggar pula dengan kereta jenis Perodua Myvi sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala," katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 57 tahun maut dalam kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat (Kg.Batu Hitam), Tanah Merah, kira-kira 2 petang.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah Mohd Haki Hasbullah berkata kejadian berlaku sewaktu kereta pacuan empat roda jenis Nissan Navara dari arah Jeli ke Machang dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan, lalu melanggar mangsa.
Mangsa yang merupakan pemandu kereta jenis Proton Saga ketika itu sedang berhenti di bahu jalan dan berdiri di luar pintu bahagian pemandu kereta itu.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa telah tercampak jatuh ke dalam gaung di sebelah kanan jalan dan maut di tempat kejadian manakala tiga lagi penumpang Proton Saga mengalami cedera ringan," katanya.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#Kuala Krai #Lebuhraya Timur-Barat #kemalangan maut #penunggang motosikal maut