Tiga maut, 26 cedera dalam letupan lombong arang batu di Sarawak
Bernama
November 22, 2014 17:50 MYT
November 22, 2014 17:50 MYT
Tiga maut manakala 26 lagi cedera dalam kejadian letupan di sebuah lombong arang batu di Selantik, Pantu dekat Sri Aman hari ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Mohamad berkata tiga yang maut dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu dikenal pasti sebagai warganegara Indonesia, Korea Utara dan Myanmar.
"Bagaimanapun, butiran lanjut berkenaan identiti mangsa-mangsa yang mati ini masih belum diperolehi sepenuhnya," katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.
Menurutnya siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada percikan api daripada kipas angin yang rosak yang menyebabkan kebakaran gas dan letupan di dalam sebuah terowong sedalam 69 meter di lombong itu.
"Semasa kejadian, 29 pekerja yang berada di dalam terowong itu telah bergegas keluar untuk menyelamatkan diri di samping membantu rakan sekerja mereka yang mengalami kecederaan serius," katanya.
Mat Jusoh berkata mayat ketiga-tiga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu telah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat, sementara 16 daripada mereka yang tercedera turut dirawat di hospital sama.
Mangsa lain yang cedera telah dirujuk ke Klinik Desa Pantu dan Hospital Daerah Serian, kira-kira 60km dari sini, katanya.
Menurutnya lombong arang batu berkenaan, yang terletak tiga kilometer dari jalan utama Sri Aman-Kuching, telah beroperasi sejak lapan tahun lepas.
"Kini terdapat 119 orang pekerja warga China, Myanmar, Indonesia, Bangladesh dan Korea Utara yang bekerja di lombong berkenaan," katanya.