Tiga mangsa pemerdagangan manusia di Peru pulang ke Malaysia
Bernama
Oktober 26, 2023 19:59 MYT
Oktober 26, 2023 19:59 MYT
SEPANG: Tiga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia sindiket Macau Scam di Peru dan diselamatkan pihak berkuasa negara berkenaan, selamat kembali ke tanah air hari ini.
Mangsa, dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 23 dan 25 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 1.30 tengah hari.
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata mereka adalah antara 43 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa penyeludupan manusia sindiket Macau Scam yang diselamatkan oleh polis Peru pada 7 Okt lepas.
"Baki mangsa masih berada di Peru dan ditempatkan di suatu lokasi yang selamat di bawah pemantauan pihak berkuasa negara itu," katanya dalam sidang media bersama tiga mangsa tersebut di KLIA di sini.
Mohamad berkata Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru akan menyelaras urusan penghantaran pulang 37 mangsa lagi, yang dijadualkan tiba di tanah air secara berkumpulan pada 28 Okt hingga 1 Nov ini.
Beliau berkata tiga lagi warganegara Malaysia masih ditahan pihak berkuasa Peru untuk proses siasatan lanjut berdasarkan undang-undang tempatan.
Menurutnya modus operandi sindiket adalah menawarkan peluang pekerjaan dalam bidang perhotelan, tukang masak dan kasino dengan gaji lumayan, tiket penerbangan, penginapan dan makanan percuma melalui platform media sosial.
"Wisma Putra akan melipatgandakan usaha (kempen kesedaran) supaya masyarakat lebih peka dan berwaspada. Periksa betul-betul ketulenan tawaran pekerjaan yang diterima dan jangan mudah terpedaya," katanya.
Mohamad dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa Peru, Kedutaan Malaysia di Peru, Kedutaan Peru di Malaysia dan Polis Diraja Malaysia atas kerjasama yang diberikan sepanjang proses membawa pulang mangsa terbabit.
Pada 9 Okt lepas, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan 43 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa penyeludupan manusia sindiket Macau Scam diselamatkan dan akan dihantar pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Dalam kenyataan berasingan pada 10 Okt, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata kesemua mangsa terdiri daripada 26 wanita dan 17 lelaki, akan diambil keterangan sebaik tiba di tanah air bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh Bahagian D3 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSPOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
-- BERNAMA