Tiga mahasiswa berbahas pada persidangan sayap, Perhimpunan Agung UMNO 2013 - Razali

Bernama
Disember 1, 2013 07:45 MYT
Sebahagian 150 mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang belajar di luar negara di Persidangan Mahasiswa Nasional 2013. --fotoBERNAMA
Perhimpunan Agung UMNO 2013 kali ini melakar sejarah sendiri apabila buat julung kalinya memberi peluang kepada tiga mahasiswa untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada perhimpunan itu.
Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi (IPT) UMNO Datuk Razali Ibrahim berkata seorang akan berbahas pada persidangan Pemuda, seorang lagi pada persidangan Puteri dan seorang lagi pada Perhimpunan Agung UMNO.
Razali, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini dan dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pada Ahad.
"Malam ini, kita akan putuskan jurucakap dan 'back-up' (mahasiswa) untuk ke persidangan dan perhimpunan itu daripada kalangan mahasiswa yang mengambil bahagian dalam Persidangan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 2013 hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penangguhan PEMANAS 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Sebelum ini, hanya seorang wakil mahasiswa dari Kelab UMNO Luar negara diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan semasa Perhimpunan Agung UMNO.
Persidangan sehari itu dihadiri seramai 150 perwakilan mahasiswa dari dalam dan luar negara dan ia diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang akan berlangsung mulai hari ini sehingga Sabtu.
Pada persidangan berkonsepkan ala Parlimen itu, sebanyak 36 usul diluluskan merangkumi 10 usul ekonomi, 10 politik, sembilan agama dan tujuh pendidikan.
Razali berkata semua usul tersebut akan diagihkan kepada jurucakap yang dipilih untuk dibangkitkan semasa persidangan sayap dan Perhimpunan Agung UMNO.
"Wakil (jurucakap) yang bakal dipilih hanya mampu membangkitkan usul itu, bagaimanapun ia terserah kepada perwakilan untuk menerimanya," katanya.
Razali juga berpuas hati dengan perjalanan persidangan PEMANAS 2013 dan tidak menolak kemungkinan ia akan menjadi acara wajib perhimpunan pada masa depan.
#IPT #Jabatan Perdana Menteri #Majlis Tertinggi UMNO #pemuda #Perhimpunan Agung UMNO 2013 #Puteri #Razali Ibrahim
;