Tiga LRA di Papar kini hasilkan 58 juta liter sehari air terawat - Armizan

Bernama
April 8, 2024 18:52 MYT
Sebelum ini daerah Papar berdepan kekurangan 15 juta liter sehari bekalan air terawat disebabkan LRA EWSS Limbahau tidak dapat beroperasi sepenuhnya. - Gambar fail/Bernama
PAPAR: Tiga Loji Rawatan Air (LRA) di daerah Papar telah mampu menghasilkan 58 juta liter sehari (MLD) air terawat bermula 10 malam tadi, menurut Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata LRA Kogopon dan LRA Jetama kini beroperasi dengan kapasiti penuh masing-masing 40 MLD dan 13 MLD, manakala LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau beroperasi pada kapasiti separuh iaitu 5 MLD.
"Ada sedikit isu tahap kekeruhan sumber air kerana ada kawasan banjir di hulu sungai dan kederasan air keruh ke sungai yang menjadi sumber air mentah untuk loji-loji rawatan.
"Ada ketika jumlah pemprosesan akan terpaksa dikurangkan sedikit kerana isu kekeruhan air, namun penghasilan air terawat di tiga LRA itu berjalan lancar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini daerah Papar berdepan kekurangan 15 juta liter sehari bekalan air terawat disebabkan LRA EWSS Limbahau berkapasiti 10 MLD tidak dapat beroperasi sepenuhnya manakala LRA Jetama hanya dapat beroperasi separuh kapasiti iaitu 5 MLD berikutan tahap kemasinan tinggi sumber air.
LRA EWSS Limbahau hanya beroperasi semula semalam setelah ditutup pada 17 Feb lepas apabila tahap kemasinan sumber air di muka sauk melebihi 120 mg/l tahap piawaian untuk diproses menjadi air terawat.
Pada 13 Mac lepas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Papar dalam kenyataan mengisytiharkan Papar yang terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas melanda kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
#loji rawatan air #Papar #Armizan Mohd Ali #cuaca panas
;