Tiga lokaliti dalam Mukim Bentong, dikenakan PKPD

Fauzi Suhaimi
Disember 9, 2020 11:17 MYT
Ismail Sabri berkata, tiga lokaliti itu membabitkan Apartment Amber Court, Apartment Ria dan Rumah Kongsi Kampung Semaut dalam mukim berkenaan. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperkatatkan (PKPD) di tiga lokaliti dalam Mukim Bentong, Pahang selama 14 hari bermula 10 Disember ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga lokaliti itu membabitkan Apartment Amber Court, Apartment Ria dan Rumah Kongsi Kampung Semaut dalam mukim berkenaan.
"KKM telah melaksanakan saringan bermula 6 Disember lalu dan sehingga semalam, sebanyak 55 kes positif COVID-19 direkodkan di mukim Bentong di mana majoriti adalah melibatkan pekerja warganegara asing di lokaliti ini.
"Penilaian risiko KKM mendapati ketiga-tiga lokaliti ini mempunyai risiko tinggi untuk berlaku penularan lebih ramai kerana kapasiti penduduk yang padat," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Beliau menambah, PKPD di ketiga-tiga lokaliti ini akan melibatkan seramai 4,351 sorang penduduk.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, dua lokaliti yang dikenakan PKPD akan dilanjutkan selama 14 hari susulan berlaku peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.
"Dua kawasan itu adalah Taman-Taman Perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah dan Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah," katanya.
Tambah beliau, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Teja, Daerah Kampar, Perak pula akan di tamatkan esok, iaitu lebih awal berbanding tarikh yang dijadualkan.
#COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #PKPD #ismail sabri yaakob #KKM #Mukim Bentong #Pahang