Tiga lemas mandi di kolam latihan tentera
Bernama
Januari 26, 2024 23:34 MYT
Januari 26, 2024 23:34 MYT
KUANTAN: Dua kanak-kanak lelaki dan seorang remaja lelaki lemas selepas mandi di kolam latihan kereta kebal di sebuah kem tentera di Temerloh dekat sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian lemas di kolam sedalam tujuh kaki (kira-kira 2.1 meter) itu pada 5.55 petang.
"Dua kanak-kanak berusia 11 tahun dan remaja lelaki berusia 13 tahun telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans tentera sebelum ketibaan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan.
"Bomba dimaklumkan bahawa terdapat seorang lagi kanak-kanak lelaki masih belum ditemukan menyebabkan operasi pencarian di permukaan air dilakukan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Wan Mohamad Zaidi berkata pihaknya turut membuat kerja mengepam air kolam dengan dibantu pihak tentera.
Bagaimanapun, pencarian tidak menemukan mangsa lain di kolam itu sebelum kanak-kanak tersebut ditemukan dalam keadaan selamat di lokasi lain dan diserahkan kepada keluarganya.
-- BERNAMA