Tiga lelaki warga Sierra Leone didakwa miliki wang kertas palsu

Bernama
Oktober 21, 2024 16:45 MYT
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga Sierra Leone mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki empat keping wang kertas palsu US$100, tiga minggu lepas.
Ibrahim Jalloh, 25, John Morovia, 35, dan Sorie Brima Caulker, 20, didakwa memiliki empat keping wang kertas US$100 palsu dengan niat untuk menggunakan wang itu sebagai tulen di sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini, pada 2 Okt lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya M. Saravanan mencadangkan jaminan RM50,000 dengan dua orang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi.
Peguam Nurul Diyana Basher yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan kesemua anak guamnya masih belajar di sebuah kolej universiti swasta di Selangor.
Hakim Azura Alwi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di Balai Polis Ampang dan Puchong setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan 20 Dis ini untuk sebutan kes.
Pada 17 Okt lepas, Bernama melaporkan tiga warga Sierra Leone diberkas polis dalam serbuan di ibu negara kerana menjual wang palsu dolar Amerika Syarikat kepada pembeli tempatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mereka dipercayai memulakan kegiatan itu sejak awal tahun ini dengan cara membeli wang palsu menerusi aplikasi media sosial pada harga hanya RM6.97 untuk 10,000 keping nota US$.
-- BERNAMA
#wang palsu #warga afrika #Malaysia #dolar AS
;