Tiga lelaki warga Nepal ditahan disyaki bergaduh

Sinar Harian
Oktober 9, 2022 23:30 MYT
Video tular memaparkan beberapa individu dipercayai warga asing terlibat pergaduhan di Flat PKNS, Kampung Baru pada Selasa. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga Nepal ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden kekecohan dan pergaduhan melibatkan beberapa individu di Flat PKNS, Kampung Baru di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dua suspek ditahan secara berasingan di sekitar Kampung Baru, manakala seorang lagi suspek telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Khamis.
"Kesemua suspek berusia 27 hingga 34 tahun itu telah direman selama empat hari bermula Khamis hingga hari ini," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Noor Dellhan berkata, mangsa dipercayai mabuk dan membuat kacau sehingga dirinya dipukul sekumpulan lelaki.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.
Pada Selasa, tular video memaparkan kekecohan melibatkan beberapa individu dipercayai warga asing di flat tersebut.
Kejadian tersebut dirakam oleh penduduk di lokasi kejadian sebelum tular di media sosial. -Sinar Harian
#Flat PKNS #warga Nepal bergaduh #Kampung Baru #Noor Dellhan Yahaya