Tiga lelaki terperangkap dalam lombong ketika menggali emas di Gunung Tabai, Bau

Nuzuluddin Abdul Razak, Fadilah Sulaiman
Mac 24, 2021 04:33 MYT
Kata Tawang, mangsa tertimbus dikenali sebagai Mat anak Tapa, berusia 25 tahun manakala identiti dua lagi belum dikenal pasti.
BAU: Tiga lelaki terperangkap di dalam lombong ketika menggali emas di kawasan Gunung Tabai dekat Bau kira-kira 64 kilometer dari bandar raya Kuching.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Tawang Linggem berkata, laporan awal mendapati seorang mangsa tertimbus tanah manakala dua lagi terperangkap.
“Terdapat tiga mangsa yang dikenal pasti berada di lokasi kejadian, berdasarkan maklumat awal mengatakan seorang telah tertimbus di dalam lubang manakala dua orang lagi masih tersangkut di dalam lubang.
“Lubang yang dimaksudkan adalah lombong untuk menggali dan mencari batu emas malah kawasan tersebut adalah kawasan larangan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kata Tawang, mangsa tertimbus dikenali sebagai Mat anak Tapa, berusia 25 tahun manakala identiti dua lagi belum dikenal pasti.
Difahamkan mereka telah keluar dari rumah sekitar jam 5.30 pagi pada Selasa dan kali terakhir dilihat berada di kawasan Gunung Tabai.
Bertindak atas laporan kehilangan, sepasukan anggota dan pegawai dari BBP Bau bergerak ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR)
Setakat ini, operasi SAR masih dijalankan.
#Tiga terperangkap #lombong emas #Gunung Tabai #Bau #Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau #Tawang Linggem #batu emas