Tiga lelaki termasuk dua kakitangan JHEAT dituduh palsukan surat nikah
Bernama
Oktober 26, 2016 15:57 MYT
Oktober 26, 2016 15:57 MYT
Tiga lelaki termasuk dua kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah bagi mengeluarkan surat dan kad nikah palsu di antara Mei hingga Jun lepas.
Mohd Yazuan Yatim, 31, dan Mohd Raduwan Abu Bakar, 43, yang bertugas sebagai pembantu operasi JHEAT serta Eirman Yusdie Ahmad Hanafiah, 34, yang bekerja sendiri berdepan pertuduhan rasuah iaitu menerima suatu suapan wang tunai bernilai RM1,500 dan RM2,000 sebagai dorongan untuk mendapatkan surat perakuan nikah dan kad nikah melalui prosedur tidak sah.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Yazuan dan Mohd Raduwan secara rasuah menerima suapan wang tunai RM1,300 dan RM1,000 sebagai upah untuk menyerahkan kesemua dokumen tidak sah itu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Bagi Eirman Yusdie, yang menghadapi tiga pertuduhan, dia didakwa menerima suapan wang tunai RM900 sebagai dorongan untuk menyediakan surat dan kad nikah diikuti RM1,300 sebagai upah melakukan perbuatan itu di samping memalsukan rekod perkahwinan di antara Mohd Nizam Adam dengan Nurzara Sofea Hafiz.
Dia memalsukan rekod perkahwinan itu seolah-olah surat dan kad nikah pasangan itu dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz kemudian membenarkan Mohd Yazuan dan Mohd Raduwan diikat jamin RM5,000 dan RM7,000 manakala Eirman Yusdie RM10,000 dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 15 Nov ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah. -- BERNAMA