Tiga lelaki menyamar polis lakukan pemerasan dan rompak ditahan
Bernama
Jun 10, 2021 23:53 MYT
Jun 10, 2021 23:53 MYT
KEPALA BATAS: Polis menahan tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan pemerasan dan rompakan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata tiga lelaki berusia 28 hingga 32 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian rompakan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam pada jam 6.20 pagi kelmarin.
"Dalam kejadian itu, seorang lelaki mahu mengambil rakannya di hadapan sebuah rumah di Bertam yang didiami oleh enam individu iaitu dua lelaki dan empat wanita yang kesemuanya merupakan bersaudara sebelum tiga suspek menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru datang memperkenalkan diri sebagai polis.
"Suspek menyuruh mereka masuk ke dalam rumah dan mengarahkan penghuni-penghuni lain masuk ke dalam satu bilik di tingkat atas sebelum mereka merompak semua telefon bimbit mangsa serta barangan berharga dan melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya susulan penahanan tiga lelaki itu pada jam 5.30 petang semalam, polis merampas plastik tertera logo dan tulisan PDRM, sejumlah telefon bimbit serta kereta Perodua Bezza dan siasatan mendapati mereka yang positif dadah dipercayai terbabit dalam kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lepas.
Noorzainya berkata siasatan turut mendapati suspek berusia 34 tahun memiliki 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala dua suspek berusia 28 tahun miliki enam dan empat rekod serta semua mereka kini direman lima hari bagi membantu siasatan.
"Orang ramai yang pernah menjadi mangsa geng itu diminta tampil membuat laporan polis kerana siasatan kami mendapati mereka sering memperdaya mangsa kononnya untuk membuat tangkapan khalwat dengan menyasarkan rumah yang didiami individu bujang," katanya.
Sementara itu, di GEORGE TOWN, polis menahan seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar kon keselamatan di sekatan jalan raja (SJR) Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada jam 8.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata lelaki itu memandu kenderaan mewah Toyota Vellfire secara berbahaya dan direman dua hari untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA