Tiga lelaki menyamar anggota polis ditahan

Astro Awani
Jun 11, 2019 17:16 MYT
NOORZAINY: Mereka bawa mangsa kononnya ke balai untuk disoal siasat, dan kemudian samun mangsa di pertengahan jalan. -Gambar fail
Taktik tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun terbongkar apabila ditahan pada Selasa.
Suspek yang berusia di antara 23 dan 26 tahun itu ditahan di sebuah rumah dekat Bukit Indera Muda, Kubang Semang pada jam 11.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata tangkapan dibuat tidak sampai 24 jam selepas kegiatan jenayah mereka dilaporkan tiga mangsa dalam kejadian di antara jam 4 pagi hingga 12 tengah hari Isnin.
Noorzainy berkata suspek mengenakan ves polis untuk melakukan kegiatan samun ke atas mangsa di kawasan rehat dan rawat (R&R) Bagan Ajam dan sekitar daerah Seberang Perai Utara.
"Hasil siasatan, kita berjaya selesaikan tiga kes tidak sampai 24 jam di mana mereka mengaku terlibat.
"Modus operandi kumpulan ini, dia perkenalkan diri sebagai polis, pakai ves polis yang tak pasti dapat dari mana. Bawa mangsa kononnya ke balai untuk disoal siasat, dan kemudian samun mangsa di pertengahan jalan," kata Noorzainy.
Beliau berkata, dua daripada tiga suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.
Pihaknya berjaya merampas pelbagai alatan yang digunakan suspek untuk aktiviti penyamaran, antaranya ves polis, walkie-talkie, lampu suluh mempunyai renjatan elektrik dan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
#anggota polis #Bagan Ajam #menyamar polis #Noorzainy Mohd Noor #Rehat dan Rawat #Seberang Perai Utara #Seksyen 395 #ves polis
;