Tiga lelaki maut motosikal terbabas sebelum digilis

Sinar Harian
Julai 27, 2023 16:00 MYT
Ketiga-tiga mangsa tidak memakai topi keledar dan menaiki satu motosikal dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Skudai. - Gambar/ Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Tiga lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum digilis kenderaan lain di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran sebuah pasar raya di Tampoi di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mangsa yang tidak memakai topi keledar dan menaiki satu motosikal dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Skudai.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal tersebut dipercayai terbabas sendiri sebelum digilis empat buah kenderaan yang tidak sempat mengelak.
“Dua daripada mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi ketika tiba di hospital.
“Ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 30-an. Kewarganegaraan mangsa masih belum dipastikan berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemukan,” katanya ketika dihubungi.
Balveer Singh berkata, pemandu empat buah kenderaan yang mengilis kesemua mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketika ditanya sama ada ketiga-tiga mangsa dalam keadaan mabuk ketika menunggang motosikal, beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat.
Mayat ketiga-tiga mangsa di hantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini. - Sinar Harian
#kemalangan maut #tiga maut #penunggang motosikal #Johor Bahru
;