Tiga lelaki halang tugas penjawat awam ditahan

Sinar Harian
November 10, 2022 11:30 MYT
Tangkap layar video yang tular membabitkan beberapa individu bertengkar dengan penjawat awam di sebuah pasar raya pada Isnin. -Foto Sinar Harian
KUALA SELANGOR: Polis menahan tiga lelaki disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa melakukan bantuan kecemasan terhadap seorang wanita yang mengalami kecederaan di hadapan sebuah pasar raya di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, lelaki berusia 17, 21, dan 35 tahun itu ditahan pada Rabu bagi membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, pihak Hospital Tanjong Karang menerima panggilan jam 8.40 malam berhubung kejadian seorang wanita dilaporkan cedera di sebuah pasar raya.
"Petugas kesihatan yang tiba jam 9 malam di tempat kejadian mendapati seorang perempuan cedera, namun semasa membawa pesakit ke dalam ambulans, terdapat individu telah menyerang pemandu kesihatan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, katanya, seorang penolong pegawai perubatan berada di tempat kejadian telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada Rabu.
"Susulan laporan itu, polis telah menahan tiga lelaki pada hari sama laporan itu dibuat bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
"Polis menasihatkan orang awam tidak menghalang mana-mana penjawat awam semasa menjalankan tugas," kata beliau.
Sebelum ini, tular video berdurasi 32 saat memaparkan kekecohan dan pertengkaran membabitkan beberapa individu dan penjawat awam di sebuah pasar raya di sini. -Sinar Harian
#penjawat awam #petugas kesihatan #Hospital Tanjong Karang #serang pemandu kesihatan
;