Tiga lelaki ditahan main mercun secara terbuka semasa ambang tahun baharu
Afiezy Azaman
Januari 1, 2019 19:30 MYT
Januari 1, 2019 19:30 MYT
Polis menahan dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga India yang bermain mercun semasa sambutan ambang tahun baru di The Curve, Mutiara Damansara, awal pagi Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, kejadian berlaku ketika pihaknya sedang menjalankan Ops Ambang Tahun Baru dan ternampak sekumpulan lelaki sedang membakar mercun secara terbuka.
"Seterusnya, pengadu bersama sekumpulan pasukan polis menghampiri mereka dan terus menahan ketiga-tiga suspek tersebut.
"Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, pihaknya turut merampas satu bungkusan mercun belum dibakar jenama 888, tiga batang mercun sudah dibakar jenis Happy Boom Yit, dan satu lagi berjenama Cactus Rain.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan," katanya.