Tiga lelaki ditahan guna kad pengenalan palsu
Bernama
Januari 18, 2024 18:46 MYT
Januari 18, 2024 18:46 MYT
KLANG: Tiga lelaki ditahan dalam satu operasi di beberapa lokasi sekitar Pulau Indah, Pelabuhan Klang awal pagi tadi kerana disyaki bekerja dengan menggunakan kad pengenalan palsu.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan memaklumkan operasi itu bertujuan mengesan warga asing yang memalsukan dan menyalahgunakan kad pengenalan.
Operasi hingga 5 pagi tadi yang melibatkan Jabatan Imigresen (JIM) Putrajaya dan turut disertai pihak media, memeriksa 12 rumah di tujuh lokasi.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke JPN Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta memegang kad Persatuan Bajau," menurut kenyataan itu.
JPN memaklumkan ketiga-tiganya bekerja sebagai jurukimpal dengan seorang daripadanya dipercayai warga Filipina manakala dua lagi mengaku berasal dari Sabah.
"Operasi melibatkan 60 anggota JPN dan 23 anggota JIM Putrajaya itu juga menemukan sejumlah salinan kad pengenalan dan kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)," menurut JPN.
Sehubungan itu, JPN mengingatkan pihak majikan untuk memastikan mengambil pekerja yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
-- BERNAMA