Tiga lelaki ditahan bantu siasatan samun RM2.2 juta dari van keselamatan
Aizat Sharif
Februari 21, 2013 16:02 MYT
Februari 21, 2013 16:02 MYT
Polis telah menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun RM2.2 juta melibatkan van syarikat keselamatan di hadapan sebuah medan selera di Jalan 222, Petaling Jaya pada Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata tiga lelaki terbabit adalah pemandu van syarikat keselamatan itu dan dua pengawal keselamatan yang berada dalam van ketika kejadian itu berlaku.
“Suspek berumur antara 24 dan 31 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 petang Rabu selepas mereka memberikan keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya,” kata Mohd Adnan.
Difahamkan penahanan ketiga-tiga lelaki tersebut dibuat setelah mendapati keterangan mereka bercanggah dan polis kemudiannya bertindak menahan mereka untuk membantu siasatan.
“Kita akan menyiasat dari semua aspek termasuk penglibatan ‘orang dalam’ dan juga pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kejadian tersebut dan rakaman CCTV di tempat kejadian turut telah diambil,” tambah Mohd Adnan lagi.
Rekod polis bagaimanapun menunjukkan ketiga-tiga suspek itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah malah salah seorang dari pengawal keselamatan itu baharu sahaja bekerja dengan syarikat keselamatan tersebut.
Ketiga-tiga mereka direman sehingga 25 Februari.
Dalam kejadian pada jam 10 pagi Rabu itu, tiga lelaki bersenjatakan alat renjatan elektrik bertindak melarikan wang tunai RM2.2 juta daripada van keselamatan yang dalam perjalanan menghantar wang tersebut ke sebuah bank di ibu negara.
Ketika kejadian ketiga-tiga pekerja syarikat keselamatan itu singgah di medan selera unutk membeli makanan sebelum datang tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan alat renjatan elektrik menaiki sebuah kenderaan MPV.
Ketiga-tiga perompak itu kemudiannya meluru ke van keselamatan itu dan bergelut dengan pemandu van terbabit.
Pemandu van yang berada di luar van turut cedera ditumbuk dan suspek terus merampas wang tersebut sebelum melarikan diri dengan kenderaan mereka.