Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes gaduh di pusat hiburan

Bernama
Oktober 1, 2017 21:20 MYT
Pergaduhan berkenaan dileraikan oleh pengunjung lain dan mangsa yang identitinya belum dikenal pasti itu dibawa keluar dari pusat hiburan sebelum menghilangkan diri dan belum dapat dikesan. - Gambar hiasan
Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi membantu siasatan berhubung satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Penang di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata tiga lelaki berumur 27 hingga 38 tahun itu ditahan di pusat hiburan berkenaan sejurus selepas kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki dan seorang mangsa yang berkunjung di situ.
"Kejadian kira-kira 4.30 pagi itu berlaku dipercayai selepas seorang lelaki telah mengganggu seorang wanita Indonesia yang bekerja sebagai penari di pusat hiburan.
"Mangsa menegur perbuatan lelaki itu dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka namun ia dapat dileraikan oleh beberapa pengunjung pusat hiburan tersebut," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa kemudiannya dibawa ke keluar oleh beberapa kawannya dari pusat hiburan berkenaan bagi mengelak berlaku pergaduhan yang lebih teruk.
Bagaimanapun, kata Anuar, mangsa datang semula ke pusat hiburan berkenaan dengan membawa kayu dan cuba menyerang suspek yang bergaduh dengannya sebelum itu.
"Sekurang-kurangnya lima lelaki memukul mangsa dengan menggunakan meja dan kerusi yang terdapat di pusat hiburan itu sehingga dia mengalami kecederaan parah di muka serta kepala," katanya.
Katanya pergaduhan berkenaan dileraikan oleh pengunjung lain dan mangsa yang identitinya belum dikenal pasti itu dibawa keluar dari pusat hiburan sebelum menghilangkan diri dan belum dapat dikesan.
Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki yang bekerja dengan MBPP, peniaga sayur serta pembantu kedai berkenaan untuk membantu siasatan.
Kejadian itu tular di media sosial terutama Facebook dan aplikasi Whatsapp selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam pusat hiburan itu tersebar.
-- BERNAMA
#Anuar Omar #Facebook #Majlis Bandaraya Pulau Pinang #media sosial #pekerja MBPP #penari #pergaduhan #pusat hiburan #wanita indonesia #WhatsApp
;