Seorang arkitek dan jurutera merupakan antara tiga yang didakwa di Mahkamah Sesyen disini kerana ingin menjadi ahli kumpulan militan Negara Islam (IS).

Mereka juga didakwa memberikan sokongan kepada IS dengan mengambil penerbangan ke Istanbul, Turki.

Tertuduh ialah Mohd Syafrein Rasid, 26, seorang arkitek berasal dari Kuantan, Pahang, peniaga Mohd Rosmadi Che Daud, 42 dari Ipoh, Perak dan jurutera Mohamad Yusoffe Ishak, 26 dari Arau, Perlis.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan KLIA, Sepang, kira-kira pukul 8.55 pagi pada 25 September lepas.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan pilihan iaitu dengan cara mengambil penerbangan dari KLIA ke Istanbul dalam percubaan beri sokongan kepada IS dengan memasuki Syria melalui Istanbul bagi manfaat kumpulan itu, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara 15 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan diambil daripada kesemua tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Aizatul Akmal Maharani menetapkan 20 November untuk sebutan semula bagi kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Dato Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya telah menahan 40 individu sejak Februari 2013.

“Mereka yang ditahan ini disyaki merancang untuk menyertai kumpulan pengganas,merekrut, memberi latihan ala ketenteraan kepada rakyat Malaysia sebagai persiapan sebelum ke Syria,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Daripada 40 yang ditahan 13 daripada mereka telah didakwa, 15 masih dalam siasatan manakala 12 lagi dibebaskan kerana tidak mempunyai bukti mencukupi.