Tiga lelaki didakwa cuba beri sokongan kepada IS

Bernama
Oktober 23, 2014 09:11 MYT
Ketiga-tiga lelaki didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun sama yang membawa hukuman penjara 15 tahun atau denda jika sabit kesalahan. - Foto Bernama
Tiga lelaki hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan cuba memberi sokongan kepada kumpulan militan digelar Negara Islam (IS) dengan mengambil penerbangan ke Istanbul, Turki.
Ketiga-tiga tertuduh ialah arkitek Mohd Syafrein Rasid, 26, dari Kuantan, Pahang; peniaga Mohd Rosmadi Che Daud, 42, dari Ipoh, Perak; dan jurutera Mohamad Yusoffe Ishak, 26, dari Arau, Perlis.
Mereka dituduh, dalam memberikan sokongan itu, mereka hendak menjadi anggota IS dengan mengambil penerbangan Qatar Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Istanbul, Turki.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan KLIA, Sepang di Selangor kira-kira pukul 8.55 pagi pada 25 Sept lalu.
Ketiga-tiga mereka juga menghadapi tuduhan pilihan iaitu dengan cara mengambil penerbangan dari KLIA ke Istanbul dalam percubaan untuk memberi sokongan kepada IS dengan memasuki Syria melalui Istanbul bagi manfaat kumpulan itu, di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Tiada pengakuan diambil daripada kesemua tertuduh.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun sama yang membawa hukuman penjara 15 tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Hakim Aizatul Akmal Maharani menetapkan 20 Nov untuk sebutan semula bagi kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
#Mahkamah Tinggi #militan IS