Tiga lelaki Bangladesh ceroboh unit pangsapuri kosong ditahan
Sinar Harian
Januari 23, 2024 12:20 MYT
Januari 23, 2024 12:20 MYT
SERDANG: Tiga warga Bangladesh yang menceroboh sebuah unit pangsapuri kosong dekat Puchong ditahan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tiga suspek berkenaan berumur 23 hingga 30 tahun itu ditahan di unit pangsapuri berkenaan kira-kira jam 9 malam.
"Penahanan tiga suspek warga Bangladesh itu dibuat setelah pemilik rumah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Ayer Putih, Kemaman, Terengganu dan dijadikan laporan kepada Balai Polis Putra Perdana, Puchong.
"Siasatan awal dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek terbabit mengaku tinggal di rumah itu sejak dua bulan lalu selain bertindak merosakkan kunci pintu dan menggantikannya dengan yang baharu," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, siasatan lanjut berkaitan kejadian itu masih dijalankan pihaknya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya.
Pada Ahad, seorang individu memuat naik hantaran di Facebook berkaitan rumah rakannya yang dipercayai kosong sejak 10 tahun lalu didapati dihuni oleh sekumpulan warga asing.
Unit pangsapuri yang terletak di Puchong itu difahamkan mahu dijual sebelum individu berkenaan bertindak meninjau keadaan rumah itu terlebih dahulu.
Bagaimanapun, apa yang memeranjatkan beliau adalah mendapati rumah yang difahamkan kosong itu telah didiami oleh beberapa individu warga asing. - Sinar Harian